Herman's posts with tag: sastera

What are tags? You can give your posts a "tag", which is like a keyword. Tags help you find content which has something in common. You can assign as many tags as you wish to each post.
View posts by people in your network with tag sastera
ReviewReviewReviewReviewReviewSalju SakinahJun 19, '08 12:44 AM
for everyone
Category:Books
Genre: Literature & Fiction
Author:Zaid Akhtar
Walaupun dalam kesibukan, akhirnya novel tebal ini berjaya saya khatam. Sebuah novel Islami yang sungguh memuaskan hati dan jiwa.

Kisah perjuangan seorang gadis bernama Sumayyah yang menuntut ilmu ukhrawi di Jordan dan kemudian kembali semula ke Malaysia untuk berbakti kepada keluarga dan masyarakatnya sungguh menyegarkan.

Jarang sekali kita temui novel Islami seperti ini di pasaran, yang ditulis dengan gaya yang menarik dan ada kalanya mencuit hati, yang berdakwah dan sarat dengan ilmu tanpa perlu berkhutbah, dan yang mengajar dengan penuh hikmah. Malah, tidak berlebihan kalau saya katakan 'Salju Sakinah' karya ustaz-novelis muda Zaid Akhtar adalah lebih baik dan lebih realistik dari 'Ayat-Ayat Cinta' dan 'Ketika Cinta Bertasbih' karya ustaz-novelis muda Habiburrahman El-Shirazi dari Indonesia yang popular dewasa ini, kerana bagi saya, kisah dan latar sosio-budaya 'Salju Sakinah' lebih mirip dengan budaya Melayu Singapura, memudahkan kita untuk menghayati intinya. Juga secara peribadi, novel ini telah mencuit kenangan semasa saya mengembara di Jordan selama dua minggu pada musim sejuk dua tahun yang lalu, walaupun tiada salju ketika itu (tidak seperti di dalam novel).

Novel terbitan PTS ini boleh didapati di cawangan MPH di Malaysia.

Sila ke blog 'Salju Sakinah' untuk maklumat lanjut.
http://saljusakinah.blogspot.com/


Photo AlbumKaryaRia II (30/05/2008) (12 photos)Jun 1, '08 8:26 PM
for everyone

Acara memperkatakan karya-karya Cg Mohd Latiff Mohd ini berjalan lancar. Diserikan lagi dengan kehadiran Cg Mohd Latiff Mohd sendiri dan Encik Khalid Shukur Bakri dari Taman Warisan Melayu. Di akhir acara, saya dan Cg Karmin telah mendendangkan lagu ciptaan Cg Karmin bertajuk S.O.S. (Skala Ombak Simpati) sempena memperingati mangsa-mangsa bencana tsunami Asia 2004, taufan Nargis di Myanmar dan gempa di Sichuan, China.

Gambar dipetik oleh saya dan Mahirah.

Untuk keterangan lanjut, sila ke http://abass07.multiply.com.

Blog EntryHafeezul Islam (cerpen)May 20, '08 8:02 PM
for everyone

Cerpen yang saya ilhamkan pada tahun 2006 ini sebenarnya belum saya finalize lagi. Masih banyak lagi yang boleh diperbaiki...

---- ------ ----- -- -- ------- ---- ------- ----- ----- ----- ------ ------- ----- ---------- -----

Hafeezul Islam
sebuah cerpen tulisan herman.mutiara

Sejak beberapa hari ini, aku perhatikan dia sering berada di masjid. Setiap kali aku datang untuk menunaikan solat berjemaah, aku dapati dia sudah pun berada di saf pertama. Selepas solat, aku perhatikan dia tidak berganjak dari tempat solatnya, penuh khusyuk di dalam wirid dan munajat yang panjang. Selepas berwirid dan bermunajat, dia akan duduk di satu sudut masjid. Tidak pernah aku nampak dia keluar dari perkarangan masjid. Ada kalanya, aku lihat dia menolong noja Haji Rawi membersihkan persekitaran masjid. Ada kalanya pula, aku nampak dia membersihkan dewan solat dengan alat pembersih vakum.

Pada suatu hari, aku bersama beberapa orang teman telah membuat rancangan untuk beriktikaf di masjid. Selepas membuat persiapan, aku meninggalkan rumah untuk ke masjid. Bila aku tiba di masjid sekitar jam sepuluh pagi, aku dapati Raihan dan Abang Nasir sudah pun sampai. Seperti kebiasaan, aku masuk ke dewan solat dan menunaikan solat sunnat menghormati masjid sebanyak dua rakaat.

Selepas memberi salam, hujung mataku ternampak seorang pemuda berpakaian kurta dan berkopiah keluar dari pejabat masjid dengan sebuah beg plastik yang penuh berisi sampah. Abang Nasir kemudian pergi menegurnya; dengan spontan pemuda berkulit hitam manis itu menguntumkan senyuman. Aku pergi ke arah Raihan. Raihan, pemuda yang juga berkulit hitam manis yang mudah tersenyum dan berdarah kacukan Bangladesh, India dan Melayu, sedang duduk dekat dengan rak-rak Al-Qur'an sambil membaca sebuah kitab hadis.

"Kau kenal dia?" tanyaku kepada Raihan.

"Namanya Hafeezul Islam," jawabnya.

"Sudah seminggu aku perasan dia selalu ada di masjid ini."

"Bukan kau seorang saja yang perasan. Ramai ahli jemaah lain pun perasan. Sebenarnya sudah dua minggu dia di masjid ini."

Menerusi perbualanku dengan Raihan, barulah aku kenal siapa pemuda misteri itu. Hafeezul Islam berasal dari Bangladesh. Dia datang dari keluarga susah. Untuk menyara keluarganya dan kerana kurangnya peluang pekerjaan di negara sendiri, dia mengambil keputusan untuk datang ke Singapura untuk mencuba nasibnya. Menerusi sebuah sindiket, dia telah berjaya menyeludup masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan. Malangnya, setibanya di sini, dia telah ditipu oleh wakil sindiket tersebut yang telah berjanji untuk memberikannya pekerjaan. Kini dia terkandas di negara ini tanpa wang dan pekerjaan.

Noja masjid, Haji Rawi adalah orang pertama yang menyapa Hafeez. Oleh kerana Haji Rawi tidak berapa fasih berbahasa Inggeris, dia meminta Raihan untuk menjadi penterjemah kerana Raihan fasih bahasa Bangladesh yang dipelajari dari ayahnya, seorang peniaga asal Bangladesh.

Lambat-laun, kisah Hafeez diketahui oleh ahli jemaah dan ahli jawatankuasa masjid. Setiap hari Hafeez akan membantu Haji Rawi membersihkan masjid. Kerana kasihan, jawatankuasa masjid telah memberinya sedikit wang upah kerana kerja-kerja yang dilakukannya dan membenarkannya tidur di dalam masjid pada waktu malam.

Tidak beberapa lama kemudian, teman-temanku yang lain tiba di masjid. Abang Nasir telah menjemput Hafeez untuk duduk bersama kami dalam majlis ta'alim. Di dalam majlis ta'alim ini, kami akan membaca sebuah kitab hadis secara bergilir-gilir. Kami sengaja memilih kitab berbahasa Inggeris dengan harapan Hafeez juga dapat memahami dan menghayati isi kandungannya. Lagipun, Raihan ada di sebelahnya untuk bertindak sebagai penterjemah seandainya dia kurang faham.

Dua jam kemudian, majlis ta'alim kami berakhir. Kami pun bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur. Ada di antara kami yang berzikir, ada yang mengaji Al-Qur'an. Aku pergi ke perkarangan masjid untuk bersembang-sembang dengan ahli jemaah masjid yang lain. Baru saja aku hendak memakai selipar, terdengar suara memanggil aku.

"Osama!!!"

Aku kenal suara itu. Suara Nana Ismail, pegawai keselamatan di Wisma Permai yang letaknya bersebelahan dengan masjid. Biarpun sudah lanjut usia, pakcik berbangsa India ini suka bergurau dan selalu memanggil aku 'Osama' kerana janggutku yang lebat serta serban yang sering menghiasi kepalaku pada hari Jumaat.

"Apa khabar, Nana Mail?"

"Macam gitu juga."

"Osama, awak ada nampak itu Bangla?" Nana Ismail menunjuk ke arah Hafeez. "Banyak kasihan."

Masjid semakin dipenuhi jemaah. Tidak berapa kemudian, azan Zuhur berkumandang.


*****

Setengah jam selepas tamat solat berjemaah, aku dan seorang lagi teman telah diamanahkan pergi ke kedai makanan yang berdekatan untuk membeli juadah tengah hari untuk kami semua. Sepulangnya kami ke masjid, aku dapati Abang Nasir telah pun menjerang air untuk dibuat teh. Kami pun meletakkan makanan yang baru dibeli itu di dalam dua buah dulang.

Pada waktu itu, dewan solat sudah hampir kosong. Di satu sudut, kulihat Hafeezul Islam sedang merenung ke luar masjid, termenung. Di tangannya masih terpegang Kitab Suci Al-Qur'an yang dibacanya tadi. Entah apa yang difikirnya. Keadaannya membuat aku simpati padanya.

"Osman?" Abang Nasir memanggil aku.

"Ya, Bang Nasir?"

"Pergi jemput Hafeez makan bersama-sama kita."

Aku pun berjalan ke arah Hafeez. Hafeez masih tidak sedar akan kehadiranku.

"Baiyya?"

"Yes?"

"Baiyya, come join us for lunch."

Hafeez teragak-agak untuk menerima pelawaanku. Mungkin dia malu menerima belas ihsan orang sejak dua minggu dia menumpang di masjid ini. Namun begitu, akhirnya dengan nada yang lemah, dia menjawab, "OK..."


*****

Perbincangan yang berlangsung di bilik mesyuarat masjid kini sedang memuzakarahkan agenda 'Lain-Lain Perkara (Jika Ada)'.

"Kita tak boleh biarkan Hafeez terus menumpang di masjid ini," kata Haji Akbar. "Kalau pihak imigresen dapat tahu kita simpan pendatang haram di masjid kita, tentu susah kita."

"Habis, takkanlah kita nak halau dia? Tak sampai hati rasanya," kata Haji Rawi. "Di zaman Nabi, masjid dijadikan tempat berteduh untuk golongan fakir miskin dan musafir."

"Saya bukannya apa, Syeikh. Niat kita di sini semuanya sama," tambah Haji Akbar. "Kita semua nak bantu Hafeez menyelesaikan masalahnya. Kalau bukan kita, siapa lagi? Tapi walaupun niat kita baik, kita perlu juga patuhi undang-undang negara."

"Betul kata Haji Akbar. Kita semua nak bantu dia," kata Tuan Haji Noh, pengerusi jawatankuasa masjid. "Saya perhatikan Hafeez itu baik budaknya. Tak pernah sekali pun dia timbulkan masalah atau buat kacau dalam masjid. Anggota jemaah masjid ini pun dah mesra dengan dia, terutama jemaah tabligh masjid kita. Saya dah minta Nasir dari jemaah tabligh untuk tengok-tengokkan dia, kerana Nasir kenal dan rapat dengan masyarakat rakyat Bangladesh yang selalu datang ke masjid ini.

"Lagipun, Hafeez pun tak duduk diam saja. Tangan dia selalu ringan untuk menolong apa-apa yang patut. Pada waktu malam, dia jadi security guard untuk masjid kita."

"Betul juga kata Tuan Haji," kata Haji Rawi. "Dua tiga orang anggota jemaah ada beritahu saya, beberapa malam yang lepas, Hafeez telah berjaya mematahkan percubaan beberapa orang anak muda yang mahu mencuri wang dari tabung derma."

"Apa kata kita adakan pungutan derma untuk Hafeez?" kata Haji Salim yang sejak tadi tidak bersuara. "Dengan wang derma itu, kita boleh hantar dia pulang ke negara dia."

"Tapi macam mana kita nak hantar dia pulang?" tanya Haji Akbar. "Dia tak ada passport atau sebarang dokumen perjalanan."

"Beginilah," tambah Tuan Haji Noh, "Saya rasa jalan terbaik untuk kita bantu Hafeez ialah dengan menyerahkan dia kepada pihak polis."

Beberapa ahli jawatankuasa cuba mencelah tetapi Tuan Haji Noh mengangkat tangan, memberi isyarat supaya diam.

"Dengar dulu. Saya bukan nak berbuat aniaya kepada Hafeez. Sememangnya pihak polis lebih berpengalaman dalam menangani masalah pesalah imigresen ini. Saya sendiri pernah melawati tempat tahanan pesalah imigresen. Di bawah tahanan pihak polis, mereka dijaga dengan baik. Tempat tidur dan makan minum cukup disediakan sementara mereka menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka. Pihak pemerintah pula akan menguruskan penerbangan pesawat untuk menghantar mereka pulang."

"Tunggu dulu, Tuan Haji," tambah Haji Salim. "Kalau Hafeez diserahkan kepada pihak polis, semua wang yang dikumpulkannya yang merupakan sumbangan derma masyarakat Islam kita juga akan dirampas. Saya tahu satu cara lagi."

"Cara apa?"


*****

Selepas solat Asar, aku mangambil kesempatan untuk bertanyakan sesuatu kepada Abang Nasir. Ada perkara yang ingin aku dapatkan penjelasan daripada Abang Nasir yang luas pengalamannya dan mendalam ilmunya dalam bidang agama.

"Ada apa, Osman?"

"Saya sebenarnya nak tanya Bang Nasir mengenai zakat."

"Apa dia?"

"Setahu saya, salah satu golongan asnaf yang berhak menerima zakat ialah musafir yang terkandas dalam perjalanan."

"Ya, betul."

"Saya sebenarnya nak bayar zakat harta. Boleh tak saya berikan wang zakat itu kepada Hafeez?"

Menurut Abang Nasir, tiada salahnya aku berikan wang zakat itu kepada Hafeez kerana dia boleh digolongkan dalam golongan musafir yang dimaksudkan. Malah dia juga boleh digolongkan dalam golongan fakir miskin kerana dia tidak mempunyai sebarang harta benda ketika itu. Mendengar penjelasan ini, aku bulatkan tekadku untuk menolong Hafeez.


*****

Aku baru selesai menunaikan solat sunnat bakda Maghrib apabila Hafeez menyapaku.

"Assalamu'alaikum, Brother."

"Wa alaikumussalam," jawabku. "Yes Brother, can I help you?"

"Brother, remember you give me zakat money? I give money to Haji Salim. He promise to get me passport."

Aku terperanjat mendengar penjelasan Hafeez. Dia menuding ke arah Haji Salim, seorang ahli jemaah masjid yang dikenali ramai kerana untaian tasbih yang tidak pernah lepas dari tangannya.

"Until now, no passport. I ask him for money back, he don't give."

"Don't worry. I will talk to him," kataku.

Aku pun berjalan ke arah arah Haji Salim dan memberi salam.

"Wa alaikumussalam. Eh Osman, apa khabar, Sheikh?"

"Alhamdulillah, khabar baik. Sheikh, Ana dengar Anta ada ambil duit Hafeez..."

"Ambil duit siapa? Budak Bangla tu?! Dah bagus tu aku nak tolong dia dapatkan passport Malaysia!!" Tiba-tiba saja Haji Salim meninggikan suara. "Apa lagi yang dia nak?!!"

"Haji, dia nak duit dia balik..."

"Mana aku ada duit dia?!! Aku dah bagi duit tu kat contact aku kat JB. Diaorang mintak dua ribu ringgit untuk satu passport. Bangla tu cuma kasi aku empat ratus dolar. Mana cukup?!!"

"Tak apalah, Haji. Dia tak jadi nak beli passport tu. Tolonglah kasi balik duit dia."

"Aku tak ada duit dia lah!!" Suara Haji Salim semakin meninggi. "Sudahlah, aku tak tahu!!!"

Suasana kecoh ini menarik perhatian para jemaah yang masih berada di dalam dewan solat masjid. Untuk mengelakkan suasana yang lebih buruk lagi, aku tinggalkan Haji Salim dan kembali semula ke tempat Hafeez.

"Sorry Brother, I cannot help you."

Hafeez terdiam mendengar penyataanku itu lalu tertunduk.

Suasana sayu buat seketika sehinggalah pak muazzin melaungkan azan, menandakan sudah masuk waktu solat Isyak. Lantas aku meninggalkan Hafeez untuk ke tempat mengambil wuduk untuk memperbaharui wudukku.

Selepas solat Isyak, aku disapa oleh Abang Nasir dan Nana Mail.

"Kenapa kecoh-kecoh dalam masjid tadi, Osman?" tanya Abang Nasir.

Aku pun menceritakan apa yang telah terjadi. Dari mula sampai akhir.

"Tuan Haji Noh ada beritahu Abang, dalam mesyuarat lepas Haji Salim kata ada satu lagi cara untuk bantu Hafeez, tapi dia tak sebutkan cara apa itu. Rupa-rupanya ini caranya," kata Abang Nasir sambil menggelengkan kepalanya.

"Itu Haji Salim, tak boleh percaya," kata Nana Ismail, "Nampak saja macam orang baik, tapi ini hari first-time Nana nampak dia pekik-pekik dalam masjid."

"Sudahlah tu, Osman," tambah Abang Nasir, "Biarkan saja. Duit tu bukan duit engkau lagi. Engkau sudah bayar zakat harta engkau kepada asnaf yang berhak. Ke mana duit tu pergi selepas itu bukan urusan kau lagi."

"Tapi sampai hati Haji Salim ambil duit Hafeez macam itu."

"Biarkanlah. Doa orang yang teraniaya itu makbul, tiada hijab di antaranya dengan Allah," kata Abang Nasir. "Suatu hari dia pasti akan terima balasannya."

Sejak hari itu, aku jarang melihat Hafeezul Islam di masjid. Begitu juga dengan Haji Salim. Aku dengar khabar dari beberapa orang teman, Haji Salim sekarang pergi bersolat di masjid lain. Beberapa minggu kemudian, aku tidak nampak lagi kelibat Hafeez. Ke mana perginya, aku tak tahu. Aku cuba bertanya Abang Nasir dan Raihan, tetapi mereka juga tidak tahu. Semoga Hafeez temui apa yang dia cari.

Beberapa bulan selepas kejadian itu, ketika membelek-belek suratkhabar harian berbahasa Melayu, aku ternampak gambar Haji Salim di salah satu mukasuratnya.

'PENIAGA DIJEL KERANA MENIPU'

Aku baca perenggan seterusnya...

'Seorang peniaga, Abdul Salim Bin Musannif, semalam didakwa di mahkamah atas tuduhan menipu dan pecah amanah...'

TAMAT

 

 

ps. Ini dia gambar 'Osama'....










Blog Entry'KaryaRia' - Malam Apresiasi PuisiMay 20, '08 7:37 PM
for everyone

Puisi-puisi Cg Mohamed Latiff Mohamed akan berkumandang di Arts House. Semua dijemput untuk hadir. Sesiapa yang ingin mendeklamasi sajak-sajak beliau atau mendendangkan lagu puisi juga dipersilakan.

Tarikh: Jumaat 30hb Mei 2008
Masa: 8.00pm
Tempat pertemuan: Arts House Lobby

Insya-Allah, Cg Latiff juga akan hadir untuk memeriahkan lagi suasana.

Untuk keterangan lanjut, sila ke laman multiply ABASS di 
http://abass07.multiply.com/journal/item/10/KARYARIA_-_Malam_cgMohd.Latiff.Mohd


Blog EntryAyat-Ayat CintaMay 5, '08 11:22 PM
for everyone

Alhamdulillah.

Saya baru habis baca AAC. Penutupnya membuat mata saya berkaca. Belum pernah saya baca novel yang buat saya tersentuh hingga bergenangan airmata. Transformasi Maria... subhanAllah! Pandai sungguh Kang Abik (sungguh tak kena saya panggil beliau dengan nama itu... sebab saya lebih tua sedikit dari beliau) mengolah cerita. Sekarang saya terasa macam nak bawa isteri menonton filemnya. Saya ada baca reviu di internet... filem AAC ada unsur-unsur melodrama ala filem Bollywood. ;)

Kini saya akur kenapa novel ini harus difilemkan. Saya rasa pengajaran yang dibawa oleh novel tersebut sedikit sebanyak akan tertumpah juga ke layar perak. Naskhah filem juga boleh dijadikan permulaan proses tarbiyah bagi pemeran-pemeran filem (baik yang di depan mahu pun di belakang kamera) jika proses perfileman dijalankan dengan baik. Juga boleh mendekatkan penonton kepada keindahan Islam. Lebih baik lagi, mendorong penonton untuk membaca novelnya agar dapat menerima ilmu secara langsung dari tumpahan ilhamkarya penulisnya.

Saya pernah memperkatakan tentang isu ini di Cyberummah dulu ketika saya mengeluh tentang ketiadaan drama-drama tempatan yang betul-betul Islami. Yang hampir Islami ketika itu ialah siri drama remaja 'Bara', kerana buat pertama kali dalam sejarah penyiaran drama tv Melayu Singapura, menampilkan watak remaja Muslimah bertudung dan adanya watak-watak yang ada ciri-ciri Islami seperti watak kecil 'abang janggut' kelakar yang selalu berfalsafah dalam dialognya (tak ingat nama wataknya, tapi dilakonkan oleh teman se-politeknik dengan saya, Azmi @ scudshot, yang juga pernah aktif dalam Jemaah Tabligh).

Sometimes, as filmmakers, they have no choice but to commit the the lesser of 2 evils in order to achieve a greater good. Filmmaking is a very complex and tedious process. Secara peribadi, saya rasa lebih baik ada sedikit unsur-unsur Islami daripada tiada langsung.

Sila baca blog sutradara AAC mengenai proses rumit perfileman AAC. Saya tabik usaha Tuan Direktor....

http://aacinta.blogspot.com/2008/04/aac-stories-behind-scenes-part-i.html

http://aacinta.blogspot.com/2008/05/aac-stories-behind-scenes-part-2.html


EventKaryaria (pertemuan sastera sebulan sekali)Apr 17, '08 2:21 AM
for everyone
Start:     Apr 25, '08 8:00p
Location:     Arts House (berkumpul di lobi jam 8.00 mlm)
Bulan ini, puisi-puisi Allahyarham Usman Awang akan berkumandang di Arts House (Old Parliament House).

Untuk maklumat lebih lanjut, sila ke http://abass07.multiply.com .

Blog EntryTanahApr 10, '08 10:08 PM
for everyone

usah berburuksangka
pada tanah berlumpur
yang melekat 
pada telapak kasutmu
selepas hujan
kerana ia juga makhluk Tuhan
sepertimu

usah hanya memandang luaran
pada wabak, bakteria dan kuman,
lihat juga pada tumbuh-tumbuhan hijau
yang lahir subur dari perutnya,
bukan dari lipatan
baldu dan sutera

tidakkah kautahu
di dalam tanah tertimbus rahsia
harta kekayaan tidak terhingga
minyak mentah idaman dunia
juga emas, perak dan batu berharga
khazanah alam yang menjadi buruan

seperti Usamah diburu Amerika
seperti Mas Selamat diburu Singapura

biar buruk paras rupa
asalkan hati mulia
hanya dapat dinilai
Sang Pencipta

usah berburuksangka 
pada tanah
walaupun sekangkang kera
kerana dari tanah juga asalmu


herman.mutiara
28 mac 2008


LinkArus Baru Sastera Singapura (ABASS)Apr 8, '08 9:27 PM
for everyone
Link: http://abass07.multiply.com

Penulis-penulis 'Angkatan 90'an' (bekas ahli Kelab Coretan Remaja Berita Harian) dan 'Angkatan Alaf Baru' (penulis tunas) bergabung untuk memeriahkan lagi kolam kecil bahasa dan kesusasteraan Melayu Singapura dengan semangat, idea dan suara baru.

Keahlian grup multiply ini adalah terbuka pada semua. Sertailah kami di ABASS.


Blog EntryMasjidFeb 18, '08 3:56 AM
for everyone

"Mak, Im nak pergi masjid."

Tiada reaksi dari Mak. Kusambut tangan Mak dan menciumnya.

"Pukul berapa balik?" tanya Mak.

"Pukul sebelas," jawabku ringkas. Dahi Mak berkerut, tapi Mak tidak berkata apa-apa.

Aku tahu Mak tak suka tetapi aku teruskan langkahku ke muka pintu dan mengenakan selipar di kaki.

Sepanjang perjalanan, hatiku terusik. Kenapakah Mak dan Ayah tidak menyenangi perubahan pada diriku? Mak pula sering saja berleter, kenapa mesti pergi ke masjid untuk sembahyang lima waktu? Di rumah tak boleh?

Bersembahyang di rumah tidak sama dengan bersembahyang berjemaah di masjid. Di zaman Rasulullah s.a.w., semua kaum lelaki menunaikan solat di masjid. Malah pernah di suatu ketika, Rasulullah s.a.w. menjadi amat berang dan mengugut ingin membakar rumah-rumah mereka yang dengan sengaja mendirikan solat di rumah tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Mak memang tidak suka akan perubahan pada diriku. Bila aku sengaja menyingkatkan seluarku hingga kedua-dua buku laliku terdedah, Mak kata aku gila. Aku cuba memberitahu Mak yang ini adalah Sunnah Rasulullah s.a.w., tapi Mak tetap berdegil. Jawabnya, seluar Rasulullah singkat sebab dia selalu kena daki bukit dan gunung.

Bila aku mula menyimpan janggut, Mak berleter lagi. Mak kata wajahku selekeh. Dia menyuruhku mencukur licin janggutku. Namun begitu aku tetap mempertahankannya kerana berjanggut itu adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. Mak menjawab, itu adalah fesyen orang-orang Arab di zaman Nabi. Zaman sekarang, mana ada orang yang simpan janggut? Ustaz-ustaz pun banyak yang tebas janggut mereka.

Aku tidak tahu bilakah kedua-dua orang tuaku akan dapat menerima perubahan kepada diriku. Kau bukan lagi Imran yang dulu. Perkenalanku dengan teman-teman baruku di masjid telah membuka mata dan hatiku. Kini aku faham dan tahu apakah maksud hidupku di atas muka bumi Allah ini.

Sebelum perkenalan ini, aku sentiasa merasakan bahawa hidupku kekosongan, biarpun aku adalah seorang anak muda yang aktif. Semakin aku sibukkan diriku dengan pelbagai tugas dan keseronokan, semakin aku rasakan kekosongan itu.

Di waktu itu, aku sangat aktif dalam bidang seni, terutama sekali bidang muzik dan teater. Aku sudah biasa membuat persembahan di sini-sana. Walaupun begitu, hatiku tidak pernah merasa puas. Masih ada lagi ruang yang kosong di dalam hidupku. Berbagai-bagai cara telah kuusahakan untuk mengisi kekosongan ini, tetapi ia masih juga menikam.

Barangkali aku rasa kosong kerana aku belum ada temanita, bisik hati kecilku. Ya, mungkin inilah sebabnya kenapa batinku menderita. Memang kadang kala aku rasa terkilan melihat teman-temanku bersama temanita mereka. Mereka ada tempat untuk bermesra dan bermanja, sedangkan teman tempat kubermanja hanyalah sebuah gitar kayu yang selalu menjadi pendampingku ke mana saja.

Menjelang senja, apabila kebanyakan umat Islam sedang bersiap sedia untuk bersolat Maghrib, aku keluar meronda bersama teman-teman. Kami pergi menonton pementasan drama. Kami pergi menghadiri gig dan konsert. Pendek kata, kami lakukan pelbagai perkara yang gila-gila dan sia-sia.

Kami amat bangga dengan gaya hidup kami. Kami rasa bangga kerana kononnya kami berjiwa seni dan hidup hanya untuk memperjuangkan apa yang kami sangkakan seni. Baru-baru ini, apabila aku terbaca sebuah artikel di akhbar, aku berasa sedih kerana teman-teman lamaku dengan angkuh mengatakan di situ bahawa seni dan agama tidak boleh disatukan.

"Assalamualaikum."

"Wa'alaikumussalam." Aku menoleh dan mendapati Idris sedang berdiri di belakangku sambil tersenyum.

"Apa khabar, Tuan?" Tanya Idris, bergurau.

"Alhamdulillah, baik."

"Nak ke masjid ke?"

"Ya," jawabku pendek.

"Kalau begitu, marilah cepat. Kita dah lambat."

Aku menatap jam tanganku. Sudah pukul 6.30 petang. Memang benar kata Idris. Kita sememangnya sudah lambat.

Di waktu itu juga, bas yang kami tunggu tiba. Bas berwarna merah dan putih, dengan nombor 147 terpampang di depannya berhenti di depan kami. Dengan tidak membuang masa, kami menaiki bas tersebut.

Aku teringat kali pertama aku berkenalan dengan Idris kira-kira dua tahun yang lalu. Ketika itu aku sedang menonton televisyen di rumah. Pada kira-kira jam 7.30 malam, pintu rumahku diketuk orang.

"Assalamualaikum, Imran ada?" Aku menjawab salamnya. Ada dua orang lagi bersamanya ketika itu. Aku tidak kenal pada mereka, jadi bagaimanakah mereka tahu alamatku?

"Nama saya Idris, dari Fakulti Sains, Universiti Singapura. Awak Imran dari Fakulti Sains Komputer kan?"

"Ya, saya Imran. Jemputlah masuk." Entah kenapa, hatiku tergerak untuk menjemput mereka masuk ke rumah, padahal aku langsung tidak mengenali mereka.

Setelah berta'aruf, barulah aku tahu siapa mereka. Mereka adalah seniorku di universiti. Aku hanyalah seorang freshman ketika itu. Idris pun mula memberitahuku tentang beberapa kegiatan agama yang diadakan di kampus. Dia bertanya sama ada aku berminat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti tersebut.

Bas yang kami naiki berhenti di di lampu merah. Aku mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepada Idris.

"Bila engkau nak keluar empat bulan?"

"Bulan depan, insya-Allah."

Aku senang sekali mendengar jawapannya. Idris baru saja tamat pengajiannya di Universiti Singapura dan dia mengambil kesempatan yang ada ini untuk keluar di jalan Allah selama empat bulan. Bagiku sendiri, aku tidak tahu bilakah aku akan mendapat kesempatan sebegini. Sudah pasti Mak dan Ayah tidak membenarkan aku berbuat demikian. Idris akan menghadiri ijtimak di Tongi, Bangladesh. Perhimpunan agama yang kedua terbesar selepas perhimpunan Haji di Makkah.


BAYAN

Haji Muhammad mengambil tempatnya di kerusi yang telah disediakan di hadapan dewan solat masjid. Para penterjemah yang akan menterjemahkan ceramah yang akan diberikan oleh Haji Muhammad ke bahasa-bahasa Inggeris, Urdu, Tamil dan bahasa-bahasa lain sudah pun bersedia di hadapan halaqah masing-masing.

Dewan solat penuh sesak dengan manusia berbagai bangsa dan warganegara. Mereka berkumpul di masjid untuk satu tujuan. Haji Muhammad akan menyampaikan ceramahnya dalam bahasa Melayu.

"Tuan-tuan yang dimuliakan Allah s.w.t., kita kena panjatkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah kerana dengan taufiq dan hidayah-Nya, Allah telah mengumpulkan kita di sini, di rumah Allah.

"Bukan semua orang yang diberikan kemuliaan ini. Di luar sana, ada lebih ramai manusia yang mempunyai lebih banyak kemudahan dan mempunyai lebih banyak masa lapang untuk datang ke masjid, tetapi mereka tidak berupaya berbuat demikian. Ini semua adalah pilihan Allah s.w.t.

"Allah berkuasa memilih sesiapa saja untuk meramaikan rumah-Nya yang mulia. Alhamdulillah, Allah telah memilih kita semua untuk duduk di majlis yang penuh barakah ini. Baru sebentar tadi kita telah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Tuan-tuan yang saya kasihi, ini adalah nikmat dan anugerah yang sangat besar sekali. Subhanallah.

"Jemaah yang saya pimpin baru saja pulang selepas berada di jalan Allah selama empat puluh hari. Kami telah dihantar ke Sri Lanka. Jumlah penduduk Sri Lanka adalah lebih kurang sama dengan Singapura. Penduduk Islamnya merupakan golongan minoriti, seperti kita di sini. Semasa kami di sana, kami sempat mengunjungi beberapa buah perkampungan Islam.

"Di sebuah kampung yang kami lawati, kami menerima berita kematian seorang kanak-kanak. Jadi kami mengambil keputusan untuk menziarahi jenazah tersebut. Jenazah kanak-kanak itu telah dibawa ke masjid untuk ditunaikan solat jenazah. Saya bernasib baik kerana mendapat tempat di saf ketiga. Selesai saja solat jenazah, saya menoleh ke belakang dan apa yang saya saksikan begitu mengharukan saya. Seluruh penduduk kampung tersebut turut sama menunaikan solat jenazah di perkarangan masjid!

"Kejadian ini juga berulang di setiap waktu solat fardhu, termasuk solat Subuh. Bila azan berkumandang, setiap kaum lelaki akan meninggalkan segala apa saja yang mereka sedang lakukan dan bergegas ke masjid. Ini adalah suatu yang sangat menakjubkan, Tuan-tuan yang mulia.

"Di sebuah negara di mana umat Islam merupakan golongan minoriti, golongan minoriti inilah yang menguasai ekonomi negara tersebut!

"Sebelum tugas dakwah ini dijalankan oleh umat Islam Sri Lanka pada tahun tujuh puluhan, keadaan mereka tidak ubah seperti kita. Tetapi apabila mereka menyahut seruan Allah dan menjalankan usaha dakwah, Allah s.w.t. memberi mereka kejayaan. Bukan sahaja kejayaan di akhirat, tetapi di dunia juga Allah telah menganugerahnya kepada mereka. Di sebuah negara di mana kaum Sinhalese dan kaum Tamil sering berperang dan bercakaran, kaum Muslimin pula menikmati kehidupan penuh kemewahan dan kesejahteraan.

"Tidak berapa lama dulu, ada sebuah pasangan Cina dari Tampines yang pergi makan angin di England. Di kota Leicester, mereka dapati setiap tengah hari, ramai orang akan keluar membanjiri jalan-jalan raya dan bergerak beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Perkara ini berlaku setiap hari dan ia menarik perhatian pasangan Cina ini. Kerana sifat ingin tahu, si suami mengambil keputusan untuk ikut serta dalam 'perarakan' ini pada keesokan harinya.

"Jadi si suami pun 'terjun' ke dalam 'lautan manusia' ini dan akhirnya 'arusnya' membawanya ke pintu masuk sebuah masjid. Orang-orang yang berarak beramai-ramai ini sebenarnya ingin pergi ke masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Suasana keislaman di sana begitu kuat sekali hinggakan teman kita ini terpegun. Lalu dia pun masuk ke masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah.

"Teman Cina kita ini menambah, seandainya dia tidak pergi makan angin di England, sudah tentu dia tidak akan dapat hidayah dan memeluk agama Islam. Ini disebabkan dia tidak dapat melihat akan kebesaran dan keindahan Islam di sini. Di sini, tidak nampak perbezaan yang ketara di antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Orang bukan Islam melakukan dosa, tetapi orang Islam sendiri melakukan LEBIH BANYAK DOSA!

"Tiga hari selepas si suami memeluk agama Islam, isterinya juga turut sama menjadi muallaf. Alhamdulillah."

 

PULANG

Aku termenung sambil mengamati kata-kata Haji Muhammad. Memang benar katanya. Ramai orang yang mengaku diri mereka Muslim tetapi tidak mengamalkan Islam di dalam kehidupan mereka. Tiada langsung ciri-ciri Islam di dalam kehidupan mereka. Gaya hidup mereka dipengaruhi oleh ideologi Barat yang tidak berlandaskan al-Qur'an dan as-Sunnah. Aku mula terkenangkan teman-teman senimanku. Bagaimanakah agaknya dapat aku ubah tanggapan mereka?

Islam adalah sesuatu yang indah, tetapi malangnya keperibadian orang Islam itu sendiri merosakkan keindahan tersebut. Jika tidak, mengapakah tahanan-tahanan perang di zaman Rasulullah s.a.w. memeluk Islam selepas diikat di tiang Masjid Nabawi selama tiga hari dan kemudian dibebaskan? Mereka tidak pernah berniat untuk memeluk Islam, tetapi keindahan Islam telah merangkul mereka dengan penuh kasih sayang. Mereka tidak mahu Islam, tetapi kehebatan Islam menyerap ke dalam jiwa mereka. Inilah kekuatan Islam dan orang Islam di saat itu. Sesuatu yang tidak ada lagi di zaman ini.

"Imran, engkau tak iktikaf malam ini?" tanya Sufian.

"Tak," jawabku. "Aku kena balik rumah."

Beriktikaf di masjid adalah suatu amalan yang mendatangkan ganjaran yang besar dari Allah s.w.t. Sesiapa yang beriktikaf sehari, Allah akan menjauhkan dia daripada neraka Jahannam sejauh tiga parit, dan lebarnya satu parit adalah seperti jarak di antara langit dan bumi.

Namun begitu, aku juga terpaksa menjaga hati kedua-dua orang tuaku. Kalau mereka tak suka aku menunaikan iktikaf, aku terpaksa akur. Kerana syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Kalau aku inginkan syurga, aku mesti menunaikan hak mereka. Ada sebuah hadis yang menyatakan, sesiapa yang ingin memasuki syurga melalui pintu yang terbaik, mestilah membahagiakan kedua orang tuanya.

Di setiap pertemuan di masjid, aku sering diingatkan supaya selalu mengamalkan ikramul-Muslimin, iaitu memuliakan saudara Islam kita dengan menunaikan hak mereka tanpa menuntut hak sendiri. Sesiapa yang membatalkan iktikaf di masjid untuk menunaikan hak saudara Islamnya, dia akan mendapat ganjaran seolah-olah dia telah beriktikaf selama sepuluh tahun.

Jam sudah pun menunjukkan jam 10 malam. Aku telah berjanji kepada Mak yang aku akan pulang selewat-lewatnya jam 11.

Aku pun mengucapkan selamat tinggal kepada Sufian, Idris dan teman-temanku yang lain. Mereka semua mengerti keadaanku. Dan aku harap, di suatu hari nanti, Mak dan Ayah juga akan mengerti...


Blog Entryforum isakamari.com dah tutup kedai?Feb 14, '08 4:09 AM
for everyone
Sila ikuti perbincangan ini di blog gulbakawali di:  http://gulbakawali.multiply.com/journal/item/7/www.isakamari.com

Anjakan genting untuk Majlis Bahasa
Oleh Chairul Fahmy Hussaini

DEBARAN yang dirasai golongan penulis dan sasterawan Melayu setempat telah pun berakhir seusainya majlis Anugerah Persuratan 2007 pada 29 Disember lalu.

Pemenang bagi pelbagai genre sastera dan penerima Anugerah dan Anumerta Tun Seri Lanang telah diumumkan.

Tahniah.

Tentunya sesuai dalam suasana penganugerahan dan sambutan Tahun Baru - Masihi dan Hijrah - dapat kita bertanya, apakah azam kita untuk mempertingkatkan dan memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di sini?

Ini wajar diutarakan kerana perkembangan sastera Melayu kelihatannya tidak selancar yang diidamkan.

Malah ada kala pergerakannya lewat kebelakangan ini agak mengecewakan, ibarat kereta rosak enjin - bergerak-bergerak berhenti, bergerak-bergerak berhenti.

Hal ini diakui sendiri oleh beberapa tokoh besar persuratan Melayu dalam wawancara mereka bersama akhbar ini.

Atas dasar itu, dirasakan amat sesuai sekali jika satu semakan besar-besaran dan kajian mendalam dibuat demi menghidupkan dan menentukan secara jelas hala tuju gerakan kebahasaan dan kesusasteraan Melayu tempatan.

Ini perlu dimengertikan kerana lewat kebelakangan ini, kelompok penulis, penyair, pencinta dan pejuang bahasa Melayu di sini kian rancak 'memasarkan' bahasa dan sastera Melayu menerusi karya serta aktiviti yang dianjurkan sendiri oleh mereka.

Lihat saja jumlah buku berbahasa Melayu yang diterbitkan antara 2005 dengan 2006: agak banyak.

Terdapat sekitar 45 buah buku semuanya - merangkumi novel, kumpulan cerpen, antologi puisi, kumpulan drama dan buku pengetahuan - telah diterbitkan.

Baru-baru ini, seorang lagi penyair setempat, Rafaat Hamzah, menghasilkan kumpulan puisi sulungnya, Yang Bilang.

Sehari sebelum pelancaran buku itu, sekumpulan penyair muda mengadakan pertemuan di The Arts House dan mengadakan Rembat Puisi.

Hasil pertemuan sulung di bangunan lama Parlimen itu, yang turut mendapat liputan pihak media, para penyair muda sepakat mengadakan Rembat Puisi secara bulanan.

Ada kemungkinan acara ini diperkenalkan di peringkat sekolah.

Sebulan dua lalu, kumpulan penulis/penyair 1990-an pula memberanikan diri membentuk Angkatan Baru Sastera Singapura (Abass).

Mereka yang rata-rata dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun kini berusaha menerbitkan antologi puisi dan berazam menjadikannya sebagai salah satu buku teks sastera Melayu bagi pelajar di sini.

Di kalangan mereka juga, ada yang berura-ura menerbitkan cakera padat lagu-lagu puisi.

Namun, kesemua usaha ini tidak bermakna jika wadah, peluang dan ganjaran amat terhad.

Pada masa yang sama, pendekatan kita dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di sini perlu diubah.

Dalam hal ini, tidak keterlaluan rasanya jika Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dapat mengadakan semakan atau kajian semula: bidang kerja dan keberkesanannya.

Pertama, merubah kedudukan Singapura dalam Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia, daripada 'pemerhati' kepada status 'anggota'.

Kedudukan Singapura sebagai 'pemerhati' dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) sejak 12 tahun lalu bak canggung.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Singapura.

Sememangnya kita memahami ada harga di sebalik perubahan status Singapura daripada 'pemerhati' kepada 'anggota'.

Ini bermakna Singapura perlu menanggung kos mengadakan sidang di sini, katakanlah sekitar $500,000. Ini satu jumlah besar!

Namun, hal ini boleh dirundingkan di peringkat rantau.

Selain sokongan pemerintah, MBMS harus lebih aktif dan kreatif dalam menarik tajaan.

Untuk itu, ia boleh mencuba mendapatkan pengecualian cukai bagi derma yang diterimanya.

Kita yakin akan azam pemerintah bak disuarakan oleh Menteri Kedua Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Vivian Balakrishnan, dalam ucapannya di majlis anugerah persuratan lalu, menekankan bahawa 'bahasa dan budaya Melayu harus terus kekal berdaya maju, relevan dan dinamik'.

Kedua, membuat semakan ke atas keberkesanan memasyarakatkan sebutan baku.

Para guru, juruhebah radio dan televisyen dan golongan rujukan (role model) perlu dihimpunkan untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Sebutan baku sudah digugurkan di Malaysia.

Sebutan bahasa Indonesia pula tidaklah sebaku yang diharapkan.

Jadi, di manakah kedudukan kita?

Ketiga, nilai wang yang diberikan untuk pemenang Anugerah dan Anumerta Tun Seri Lanang harus kembali kepada jumlah asal atau dipertingkat.

Bak kata seorang teman dalam perbincangan lewat forum sastera:

'Pengiktirafan harus diberi dengan jujur dan penuh makna.'

Dalam sembang-sembang lewat maya itu, seorang lagi teman mengeluh:

'Memang terasa kelunturan nilai Tun Seri Lanang daripada cara ia disampaikan kali ini.'

Para penyair melahirkan rasa dukacita apabila mendapat tahu nilai wang yang diterima si penerima anugerah Tun Seri Lanang tahun ini telah dikurangkan daripada $7,000 kepada $5,000.

Nilai anugerah Anumerta yang dulunya $5,000 kini hanya $2,000.

Soalannya:

Benarkah begitu? Mengapa ini berlaku?

Seharusnya, perkara seperti ini dijelaskan.

Dalam era yang mengkehendaki kita bersikap telus, wajar rasanya pihak MBMS menjelaskan sebab atau alasan tentang nilai penganugerahan tadi.

Keempat, perlunya MBMS menubuhkan sebuah pejabat dengan urus setia tetap bagi melancarkan segala urusan bahasa dan persuratan Melayu.

Jika ini tidak dapat dilakukan, satu jalan keluar perlu difikirkan, umpamanya bekerjasama dengan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura sebagai jabatan urus setia MBMS.

Ini memandangkan, pelestarian budaya dan seni Melayu giat didukung banyak badan Melayu seperti Sriwana, Perkumpulan Seni sehinggalah kepada 4PM.

Kelima, MBMS perlu menarik bakat baru untuk meneruskan khidmatnya. Ini bak patah tumbuh hilang berganti. Tenaga lama yang berpengalaman pula diserap dalam dewan penasihatnya.

Kegiatan MBMS perlulah dibuat saban bulan dengan 'mengagihkannya' kepada badan-badan Melayu sehingga para siswa dan pelajar.

Ini akan memastikan persuratan Melayu terus rancak di Singapura.


EventRembat Puisi IIJan 6, '08 8:14 PM
for everyone
Start:     Jan 25, '08 8:00p
Location:     Earshot Cafe @ Arts House (former Parliament House, belakang Victoria Theatre / Concert Hall)
Dress Code: Jersey bola
Tema: 'Glocal - going global while staying local'.

Sesiapa dipersilakan untuk merembat, asalkan no foul play. Boleh rembat dengan puisi sendiri. Boleh rembat dengan puisi orang lain. Tak ada kasut bola sendiri, boleh pinjam kasut orang lain, no problem. Tak mahu rembat, boleh jadi supporter.

Kita ada referee. Kita ada linesman. Kita ada medic. So dun worry.

Semua dipersilakan untuk turun padang. Kalau boleh, datang awal sikit so kita boleh buat warm-up dulu sebelum kita rembat.

Sila hantarkan karya-karya anda kepada Naz Husna @ naz_husna@yahoo.com.sg untuk kompilasi selewat-lewatnya Jumaat 18 Jan 2008.

For more info, sila ke forum isakamari.com.

Harap sebarluaskan. Terima kasih.


ps. Kalau nak pergi sama-sama, boleh jumpa saya di Masjid Maulana Ali untuk solat Maghrib ard 7pm.

Photo AlbumRembat Puisi 1 (22 photos)Dec 28, '07 6:27 PM
for everyone

Tarikh: Jumaat 28 Disember 2007
Tempat: Earshot Cafe, Arts House
Masa: 8 malam
Peserta: CG Karmin, Naz Husna, Juan Einriqie, Elmi Zulkarnain, Herman Mutiara, Alang Budiman, Embun

© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help